Friday, 2 October 2015

Sirah Rasulullah : Hijrah Ke Madinah



BIL
KANDUNGAN
HALAMAN
1.0
PENGENALAN
1
2.0
DEFINISI HIJRAH
-          Bahasa
-          Istilah
2
2
2
3.0
PEMBAHAGIAN PERKATAAN HIJRAH
2
4.0
FAKTOR PENGHIJRAHAN
Perintah Allah
Penentangan Kepada Dakwah Islam Di Makkah
Penerimaan Yang Baik Di Madinah
3
3
3
3
5.0
KRONOLOGI HIJRAH  RASULULLAH
Kematian Abu Thalib Dan Siti Khadijah
Perjalanan Ke Ta’if
Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu
Peristiwa Isra’ Mi`raj
Bai`ah Pertama
Bai`ah Kedua
Permulaan Hijrah
Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah
Bertolak dari Makkah
Bersembunyi Di Gua Thur
Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib
Singgah di Quba’
Sampai di Yathrib
Persinggahan Di Rumah Abu Ayyub
Pembinaan Masjid Nabi
Persaudaraan Antara Muhajirin Dan Ansar
4
4
4
5
6
7
7
7
8
9
10
12
12
13
13
13
14
6.0
IKTIBAR DARI KISAH HIJRAH
Keistimewaan Hijrah
Tawakkal Kepada Yang Maha Esa
Pembinaan Masjid
Ukhuwwah Islamiyyah Tonggak Kesatuan
15
15
15
15
15
7.0
KESIMPULAN DAN PENUTUP
16
8.0
BIBLIOGRAFI
Al-Quran
Buku Ilmiah
17
17
17



1.0 PENGENALAN
Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Hal ini kerana tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Hijratul Rasul adalah salah satu daripada sejarah-sejarah yang di rakam oleh Allah dan dipapaarkan semula kepda manusia melalui al-Quran.
           Secara fizikalnya, Hijrah adalah perjalanan dari satu bandar ke bandar lain yang jaraknya 300 batu. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah ia juga menandakan permulaan era ketamadunan yang meliputi budaya dalam satu sejarah baru bagi umat manusia. Islam berkembang bukan sahaja kerana Hijrah secara fizikal sahaja, sebenarnya kerana umat Islam memandang serius terhadap semua aspek dan dimensi Hijrah. Apabila Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, baginda tidak sahaja berpindah tempat tinggal atau bermastautin di sebuah kota baru, malah baginda juga merubah segala aspek kehidupan di kota yang didatanginya itu.
          Dengan merenugi peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa peristiwa hijrah ini kita akan dapat memperkuatkan mental dan fizikal serta keazaman untuk memperjuangkan Islam.  Kerana jika Nabi sebagai seorang manusia yang telah dirancang dan disempurnakan kejadian dan sifat-sifatnya oleh Allah terpaksa merempuh jalan yang begitu sulit untuk menegakkan Islam, apalah yang ada pada kita yang dhaif ini untuk membolehkan kita mengelak dan terlepas daripada ditimpa kejadian yang serupa.
           Secara logiknya kita akan menerima lebih banyak masalah dan halangan kerana ia bukan sahaja fitrah perjalanan sebuah kebenaran dan keadilan tetapi ditambah pula dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada kita sebagai insan biasa.  Oleh itu kalau ada yang bermimpi menegakkan Islam tanpa berdepan dengan kesulitan sudah tentu agak sukar untuk diterima.
            Oleh itu, penting bagi penulis merungkai kembali peristiwa yang terjadi dalam penghijrahan Rasulullah SAW  kerana di dalamnya terdapat banyak pelajaran yang boleh kita pelajari dan menjadikannya panduan dalam hidup kita. Secara spesifik, penulis dapat utaran mengenai kisah hijrah ini pada halaman berikutnya.


2.0 DEFINISI HIJRAH
Bahasa: Perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”
Istilah: terbahagi kepada tiga, iaitu:[1]
-          Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Makkah ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda SAW. Perpindahan ini kerana semata-mata agama bukan membabitkan keuntunganduniawi.
-          Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika sekiranya niat kerana Allah SWT, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syara’.
-          Meninggalkan Negara syirik dan berpindah ke Negara Islam, seperti para muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Makkah dan Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah.

3.0 PEMBAHAGIAN PERKATAAN HIJRAH
Perkataan hijrah diberi kepada beberapa bahagian:[2]
-          Hijrah pertama ke Habsyah ketika golongan kufar menyakiti para sahabat.
-          Hijrah kedua dari Makkah ke Madinah.
-          Hijrah ketiga iaitu hijrah pelbagai kabilah dan kaum kepada Nabi SAW untuk mempelajari hukum syara’. Kemudian mereka pulang ke halaman masing-masing dan mengajar kaum mereka sendiri.
-          Hijrah keempat iaitu hijrah siapa yang memeluk Islam di kalangan penduduk Makkah yang datang mengunjungi Nabi SAW kemudian pulang semula ke Makkah.
-          Hijrah kelima iaitu sesiapa yang berhijrah daripada segala larangan Allah.
-          Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
-          Hijrah dengan hati kepada Allah SWT dan RasulNya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah SWT kepada cinta kepada-Nya. Daripada ubudiyyah selain-Nya kepada ubudiyyah Allah.

4.0 FAKTOR PENGHIJRAHAN
Perintah Allah
-          Penghijrahan Baginda hanya menjadi kenyataan setelah diwahyukan oleh Allah S.W.T. tentang niat jahat orang-orang Quraisy untuk membunuhnya. Firman Allah:
Dan ingatlah  ketika orang-orang kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.[3]
         Menurut sumber-sumber tradisi, ketika itu datang Jibrail kepada Nabi lalu menyampaikan perintah Allah SWT supaya Nabi berhijrah, serta dilarangnya Nabi daripada tidur di tempatnya pada malam itu. Ini menyebabkan Nabi secara tergesa-gesa tetapi penuh hati-hati berangkat ke Madinah bersama Abu Bakar Al-Siddiq pada tahun 622 M.[4]
Penentangan Kepada Dakwah Islam Di Makkah
-          Selain itu, suasana dalam negeri yang kian mengancam seperti cengkaman politik, ekonomi dan sosial inilah yang mendorong Baginda memikirkan perlunya berhijrah.[5]
-          Musyrikin Quraisy telah semakin berani mengganggu dakwah Bagindanya dengan merancang untuk menamatkan riwayat Rasulullah.[6]
Penerimaan Yang Baik Di Madinah
-          Madinah (Aus dengan Khazraj) mahupun dengan bangsa Yahudi telah menjadi alasan pula tentang perlunya seorang pemimpin buat mendamaikannya. Maka atas kesedaran inilah maka golongan Arab itu menjemput Nabi ke Madinah, setelah beberapa kali mengadakan Perjanjian Aqabah (Bai’atul-Aqabah). Perjanjian ini sekaligus bererti suatu pengiktirafan secara rasmi penduduk-penduduk Madinah terhadap Muhammad sebagai pemimpin di Madinah.[7]


5.0 KRONOLOGI HIJRAH  RASULULLAH
Kematian Abu Thalib Dan Siti Khadijah
Pada tahun ke-10 kerasulan, Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah telah meninggal dunia. Abu Talib semasa hayatnya, kuat mempertahankan anak saudaranya, iaitu Rasulullah. Quraisy tidak berjaya menyakiti diri Nabi sepanjang hayat Abu Talib kerana mereka hormat dan gerun kepadanya. Apabila beliau meninggal dunia, Quraisy mula berani bertindak kasar terhadap Rasulullah. Lantaran itu, kematian beliau menimbulkan rasa sugul yang mendalam kepada Nabi. Nabi bersungguh-sungguh mendesak Abu Talib untuk mengucap kalimah syahadah ketika beliau terbaring nazak pada saat-saat akhir kematiannya. Namun Abu Talib enggan kerana bimbang beliau akan mendapat malu daripada kaumnya kerana meninggalkan agama nenek moyangnya.[8]
            Selain kematian Abu Thalib, Allah juga telah menguji Rasulullah dengan kematian isteri Baginda iaitu Khadijah RA. Khadijah juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Sebelum itu, Khadijah berperanan meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasul lantaran permusuhan Quraisy yang dihadapi Baginda. Apabila beliau meninggal dunia, Baginda merasa terlalu dukacita. Tahun kematian bapa saudara Baginda, Abu Thalib dan isterinya, Khadijah dinamakan sebagai "Tahun Dukacita".[9]
Perjalanan Ke Ta’if
Pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian. Rasulullah telah ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan dakwah. Hal ini terjadi kerana penentangan oleh orang-orang kafir Makkah semakin kuat. Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu. Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.[10]
            Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di perjalanan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam. Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut seruankan Baginda. Tatkala sampai di Ta’if, Baginda berjumpa dengan tiga orang bersaudara dari bani Thaqif iaitu Abdul Yalail, Mas’ud dan Hubaib. Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina Rasulullah SAW.[11]
           Baginda bermukim di Ta’if selama 10 hari. Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah didakwah oleh Nabi. Tetapi semua mereka telah menghina Nabi. Malah mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika hendak keluar dari Ta’if. Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah. Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya.[12] Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Ta’if sehinggalah Nabi masuk ke kebun `Utbah dan Shaybah yang merupakan dua anak lelaki Rabi`ah.[13] Di kebun itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri lalu berdoa:[14]
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah  dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku ? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis 3 atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”
           Walaupun Baginda sangat sedih dengan apa yang berlaku di Ta’if, namun telah berlaku beberapa peristiwa menarik sepanjang perjalanan sekembalinya Nabi ke Makkah. Peristiwa dipeluk oleh seorang khadam yang beragama Nasrani, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga bukit ketika di Qarnul Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk mendengar ayat-ayat al-Qur’an ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah menaikkan semangat Baginda untuk meneruskan dakwah dan merancang strategi baru.[15]
Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu
Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10 kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah untuk menawarkan seruan Islam kepada kabilah dan individu. Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh kabilah-kabilah dari luar sempena musim haji pada bulan Zulhijjah. Sebenarnya Nabi telah berdakwah kepada banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim haji sejak tahun ke-4 kenabian lagi. Tetapi tidak satu kabilah pun menerima dakwah Baginda. Namun terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan masuk Islam.[16]
        Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Nabi telah bertemu dengan 6 orang pemuda Yathrib. Mereka tertarik dengan seruan Nabi kerana mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan keluar dari mulut-mulut orang Yahudi di Yathrib. Mereka pulang ke Yathrib dalam keadaan masih belum masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang Nabi akhir zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib. Jadi, seluruh penduduk Yathrib mula maklum berkenaan Rasulullah.[17] Mereka adalah As’ad Bin Zararah, Auf Bin Haris Bin Rufah Bin Arfa’, Rafi’ Bin Malik Bin Ajlan, Quthbah Bin Amir Bin Hadidah, Uqbah Bin Amir Bin Naby dan Jabir Bin Abdullah Bin Riab.[18]
Peristiwa Isra’ Mi`raj
Terdapat perselisihan berkenaan tarikh peristiwa ini berlaku. Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri memilih samada ia berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.[19] Mengikut pandangan Dr Mustafa Al-Siba’ie ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10 kenabian atau selepasnya.[20]
        Pendapat sahih yang dipegang oleh jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan jasad dan roh Nabi. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Setelah menerima pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam Baginda pulang kembali ke Makkah pada malam itu juga. Peristiwa ini berlaku pada satu malam dan ia benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika itu.[21]
        Ada yang setelah mendengar peristiwa ini tetap beriman malah semakin teguh iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada yang terus murtad. Baginda juga memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda. [22]
Bai`ah Pertama
Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan 12 orang lelaki dari Yathrib, lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina pada tahun ke-11 kenabian. Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk Islam dan berbai`ah dengan Nabi. Nabi telah menghantar seorang pemuda sebagi duta Islam bernama Mus`ab bin `Umair al-‘Abdari yang juga mmerupajn pemeluk Islam terawal untuk mengikut rombongan 12 orang tersebut pulang ke Yathrib. Tujuannya ialah supaya Mus`ab bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang masuk Islam di Yathrib tentang syari`at-syari`at Islam.[23]
       Sebelum tiba musim haji tahun ke-13 kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah bertemu Nabi dengan membawa berita yang menggembirakan. banyak penduduk Yathrib dari pelbagai kabilah menerima ajaran Islam sekaligus hal ini dapat mengukuhkan kekuatan  Islam.[24]
Bai`ah Kedua
Pada musim ke-13 kenabian, seramai 73 hingga 79 orang Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Mereka datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik. Kali ini telah berlaku bai`ah kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius iaitu dalam hal taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi walau dalam keadaan apa sekali pun. Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi memikul tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib. Daripada 12 orang itu, 9 orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.[25]
Permulaan Hijrah.
Quraisy mendapat tahu tentang keislaman sekumpulan penduduk Yathrib. Lantaran itu, mereka meningkatkan penyeksaan kepada orang-orang mukmin di Makkah. Lalu Nabi mengarahkan orang-orang mukmin berhijrah ke Madinah. Mereka berhijrah secara sembunyi kecuali Umar RA. Beliau telah memberitahu orang musyrik Quraisy tentang penghijrahannya seraya berkata: "Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya. [26]
          Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah. Antaranya ialah, kisah Ummu Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya. Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.[27]
          Selain itu, Kisah Suhaib yang ditahan oleh kafir Quraisy tatkala beliau memulakan perjalanan untuk berhijrah lalu dilepaskan Suhaib kerana Suhaib sanggup menawarkan bahawa akan memberikan kesemua hartanya kepada kafir Quraisy tersebut sekiranya pihak mereka tidak menghalang perjalanan beliau lalu kafir Quraisy itu melepaskan Shuhaib. Peristiwa gembira itu telah sampai kepada Rasulullah, Baginda berkata: Shuhaib untung besar!, Shuhaib untung besar![28]
Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah
Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad. Pertemuan ini dihadiri  oleh semua perwakilan Kabilah Quraisy antarnya, Abu Jahal Bin Hisyam, Jubair Bin Muth’im, Syaibah Bin Rabiah, Nadhar Bin Haris, Abu Bakhtary Ibn Hisyam, Nabih Bin Hajjaj dan Umaiyyah Bin Khalaf.[29]
           Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd.[30] Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu. Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Nabi. Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi. Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya. Parlimen Makkah setuju secara ijmak lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut. [31]
           Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari Allah, Nabi Muhammad bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.[32] Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu. Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.[33]
           Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah yang diupah untuk membunuh Rasulullah oleh besar Quraisy mula melakukan persiapan rapi untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad. Sebelas orang penjenayah telah terpilih mewakili kaum masing-masing untuk melaksanakan misi jahat tersebut.[34]
Bertolak dari Makkah
Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada tengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan menyelidik samada Nabi sudah tidur atau belum. Namun, kekuasaan Allah dan peliharaan Allah terhadap kekasihnNya mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut.[35]
        Sebelum Nabi bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin. Dengan izin Allah, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.[36]
       Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.[37]
            Para pengepung masih menunggu tetapi kegagalan mereka rupanya telah tersingkap. Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad seperti didakwa lelaki tersebut. Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad.[38]
Bersembunyi Di Gua Thur
Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang menunggu Nabi. Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.[39]
           Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dibibangi jika terdapat apa-apa bahaya.[40] Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.[41]
           Setelah keadaan dirasakan selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.[42]
          Rasulullah dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad.[43] Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).[44]
         Sepanjang 3 hari itu Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi.[45]
       `Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam.[46]
         Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi.[47]
          Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.[48]
Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib
Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut.[49] Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.[50]
          Ketika meneruskan perjalanan, mereka berempat telah memilih menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat iaitu laluan pesisiran pantai. Apabila sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib.  Mereka berajalan dengan menggunakan laluan yang jarang digunakan orang ramai.[51]
Singgah di Quba’
Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad dan rombongannya itu sampai di Quba’.[52] Di Quba’, rombongan Rasulullah singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’.[53]
Di situlah Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama dibina di bumi ‘Arab yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.[54] Allah telah menggambarkan di dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”[55]
Sampai di Yathrib
Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya. Apabila telah masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan yang dinamakn Bani Salim bin Auf. Disitulah Baginda menunaikan solat Jumaat pertama dan menyampaikan khutbah pertama dalam Islam[56]
          Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah.[57]
Persinggahan Di Rumah Abu Ayyub
Walaupun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad.[58] Rasulullah menjawab kepada mereka, “Biarkan saja unta ini, dia mengikut perintah.” Unta Rasulullah tadi berjalan terus di jalan-jalan dan lorong- lorong Madinah berhadapan dengan rumah Abu Ayyub Al Ansari. Rasulullah pun berkata: “InsyaAllah di sinilah saya akan singgah.[59]
Pembinaan Masjid Nabi
Tapak pembinaan masjid itu merupakan tempat dimana unta Baginda duduk pertama kali berhampiran dengan rumah Abu Ayyub Al Ansari. Tempat tersebut juga adalah berhampiran tanah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar walaupun ditawarkan secara percuma oleh dua orang kanak-kanak berikut. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasulullah. turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. Dinding masjid itu dibina daripada batu bata dan bumbungnya daripada pelepah-pelepah kurma yang diletakkan pada batang-batang kurma.[60]
Persaudaraan Antara Muhajirin Dan Ansar
Baginda Rasulullah telah menjadikan untuk setiap Ansar seorang saudara daripada Muhajirin. Ada seorang Ansar telah membawa saudara Muhajirinnya ke rumahnya. Beliau menawarkan kepada saudara Muhajirinnya untuk membahagi sama rata semua barang yang terdapat di dalam rumahnya.[61]
           Kemudian Rasulullah menulis satu piagam bertulis antara Muhajirin dan Ansar. Di dalamnya Baginda berjanji untuk berbaik-baik dengan Yahudi di samping mengakui hak mereka dalam agama dan harta. Ibnu Hisyam telah menyatakan piagam tersebut dengan panjang lebar dalam kitab sirahnya. Ia mengandungi prinsip-prinsip yang menjadi dasar asas kepada negara Islam yang pertama. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat.[62]
       Begitulah serba ringkas yang telah penulis gambarkan tentang kronologi kisah hijrah Rasulullah dari Makkah ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat.












6.0 IKTIBAR DARI KISAH HIJRAH
Sebenarnya terlalu banyak iktibar yang dapat kita pungut dan ambil daripada peristiwa Hijrah
al-Rasul. Di sini dikemukakan beberapa iktibar sebagai renungan bersama dan seterusnya penghayatan dalam kehidupan kita, antaranya:[63]
Keistimewaan Hijrah
-          Antara keistimewaan hijrah, ialah seseorang sudah pasti mempunyai azam yang tinggi dalam kehidupan. Lihatlah falsafah orang yang berjaya yang menongkah arus serta memahami selok-belok badai kehidupan menyebabkan Tajribatul Hayah atau pengalaman kehidupan merupakan guru terpenting dalam mendewasakan seseorang.
Tawakkal Kepada Yang Maha Esa
-          Inilah ramuan terbaik bagi seseorang hamba tatkala diasak dengan pelbagai ujian dan tribulasi dalam menghadapi kehidupan maka pergantungan kepada Tuhan merupakan prasyarat utama kejayaan. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah yang begitu yakin dengan janji Allah.
Pembinaan Masjid
-          Terlalu banyak nas dan dalil menunjukkan keistimewaan masjid. Secara nyatanya masjid berfungsi dalam menjalinkan tali ikatan yang ampuh dan kukuh berkenaan dengan Habluminallah (hubungan dengan Allah SWT) dan Habluminannas (hubungan dengan manusia). Dengan dua ikatan tersebut sudah pasti syaitan tidak dapat memasuki untuk mempengaruhi, memperdaya dan menipu umat Islam. Natijahnya akan jadilah masyarakat yang sentiasa berkasih-sayang dan hidup dalam penuh keharmonian.
Ukhuwwah Islamiyyah Tonggak Kesatuan
-          Betapa peri pentingnya ukhuwwah ini dimana ia merupakan agenda utama Baginda SAW ketika sampai ke Kota Madinah sama ada mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj yang dinamakan dengan Ansar. Seterusnya mempersaudarakan antara Ansar dengan penduduk Makkah yang berhijrah ke Madinah. Mereka dikenali dengan Muhajirin. Antara matlamat Baginda SAW yang dapat dikesan ialah supaya tiada lagi unsur bersifat kekabilahan atau perkauman tetapi ditukar kepada Ukhuwwah Islamiah.

7.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP
Umat Islam sering menganggap bahawa peristiwa Hijrah Rasulullah SAW hanyalah satu ethos sejarah. Apa yang perlu diperbetulkan adalah, hijrah adalah satu sejarah yang benar-benar mengubah penafsiran falsafah hidup yang selama ini manusia menjadikan dunia untuk dunia semata-mata. Hijrah kini disambut kerana ianya mengandungi suka duka perjalanan hidup seorang pejuang kebenaran yang diketuai oleh seorang Rasul yang bernama Muhammad SAW. Maka itu adalah penting untuk kita mengetahui perjalanan Rasulullah sebelum menghayati makna dan kepentingan Hijrah itu sendiri.
          Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan.
          Sesungguhnya hijrah merupakan kejayaan yang pasti diperolehi apabila disertai dengan nawaitu untuk mencari mardhatillah. Begitu juga hijrah adalah mukadimah kemenangan sepertimana sunnah para Rasul sejak dahululagi. Sekiranya perintah Rasulullah SAW yang ringkas ini dapat diaplikasi dalam masyarakat dan negara sudah pasti menatijahkan keamanan, kebahagiaan dan juga keharmonian yang membawa kasih sayang antara sesama
masyarakat.
           Pada akhirnya penulis menyeru pada khalayak pembaca supaya sentiasa mengkaji sirah Rasulullah SAW untuk mengambil pelbagai iktibar dan istifadah yang boleh diguna pakai dalam menghadapi pelbagai situasi ketika menempuh kehidupan di alam fana ini. Semoga bingkisan hijrah Nabi SAW benar-benar memberi kesan dalam kehidupan masyarakat Islam untuk menjadikan hijrah Nabi SAW sebagai titik tolak perubahan kehidupan.






7.0 BIBLIOGRAFI
Al-Quran:
-         Kementerian Dalam Negeri, 2007, Al-Quran Dan Terjemahan, Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Buku Ilmiah:
-          Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2014, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya.
-          Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, 2013, Ar-Rahiq Al-Makhtum, Kemilau Publika Sdn Bhd, Selangor.
-          Mahayudin Hj.Yahaya, 2001, Tamadun Islam, Fajar Bakti Sdn Bhd, Selangor.
-          Dr Mustafa Al-Siba’ie, 2011, Al-Sirah Al-Nabawiah, Pustaka Darussalam, Kedah.
-          Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, 1983, Fiqh Al-Sirah 1, Dewan Pustaka Fajar, Selangor.
-          Ibn Hisyam, 2009, al-Sirah al-Nabawiyah,  Jilid 1 , Al-Hidayah Publication, Selangor.
-          Mahmud Thu’mah Halabi, 2008, Mukhtasar Hayatus Shahabah, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur.



[1] Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, Bab 1, hlm 3.                                                    
[2] Ibid hlm 5.
[3] Al-Anfal: 30
[4] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, Ar-Rahiq Al-Makhtum, hlm 213.
[5] Mahayudin Hj.Yahaya, Tamadun Islam, hlm 419.
[6] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 211.
[7] Ibid, hlm 191.

[8] Dr Mustafa Al-Siba’ie, Al-Sirah Al-Nabawiah, hlm 26.
[9] Ibid, hlm 26.
[10] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 163.
[11] Ibid, hlm 163.
[12] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Fiqh Al-Sirah 1, hlm 75.
[13] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 163-164
[14] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 28.
[15] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 79.
[16] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 171
[17] Ibid, hlm 178
[18] Ibid, hlm 179.
[19] Ibid, hlm 182.
[20] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 28.
[21] Ibid, hlm 28.
[22] Ibid, hlm 28.
[23] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 191.
[24] Ibid hlm 195.
[25] Ibid, hlm 201.
[26] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 36.
[27] Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyah, Jilid 1, hlm 468-470.
[28] Ibid, hlm 477.
[29] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 210.
[30] Ibid, hlm 210.
[31] Ibn Hisyam, op.cit, hlm 480-481.
[32] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 213.
[33] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[34] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 214.
[35] Ibn Hisyam, op.cit, hlm 483.
[36] Ibid, hlm 483.
[37] Ibid, hlm 483.
[38] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 216.
[39] Ibid, hlm 216.
[40] Mahmud Thu’mah Halabi, Mukhtasar Hayatus Shahabah, hlm 49.
[41] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[42] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 217.
[43] Ibid, hlm 217.
[44] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[45] Mahmud Thu’mah Halabi, op.cit, hlm 48.
[46] Ibid, hlm 48.
[47] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 218.
[48] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 217.
[49] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 105.
[50] Ibn Hisyam, op.cit, hlm 486.
[51] Ibid, hlm 491.
[52] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 225.
[53] Ibid, hlm 227.
[54] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 105.
[55] al-Taubah : 108
[56] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 39.
[57] Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri, op.cit, hlm 226.
[58] Ibid, hlm 228.
[59] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 105.
[60] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 40.
[61] Ibid, hlm 41.
[62] Ibid, hlm 41.
[63] Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, op.cit, Bab 2, hlm 7