BIL
|
KANDUNGAN
|
HALAMAN
|
1.0
|
PENGENALAN
|
1
|
2.0
|
DEFINISI HIJRAH
-
Bahasa
-
Istilah
|
2
2
2 |
3.0
|
PEMBAHAGIAN PERKATAAN HIJRAH
|
2
|
4.0
|
FAKTOR PENGHIJRAHAN
Perintah Allah
Penentangan Kepada Dakwah Islam Di Makkah
Penerimaan Yang Baik Di Madinah |
3
3 3 3 |
5.0
|
KRONOLOGI HIJRAH RASULULLAH
Kematian Abu Thalib Dan Siti
Khadijah
Perjalanan Ke Ta’if Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu Peristiwa Isra’ Mi`raj Bai`ah Pertama Bai`ah Kedua
Permulaan Hijrah
Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah Bertolak dari Makkah Bersembunyi Di Gua Thur Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib Singgah di Quba’ Sampai di Yathrib Persinggahan Di Rumah Abu Ayyub Pembinaan Masjid Nabi Persaudaraan Antara Muhajirin Dan Ansar |
4
4 4 5 6 7 7 7 8 9 10 12 12 13 13 13 14 |
6.0
|
IKTIBAR DARI KISAH HIJRAH
Keistimewaan Hijrah
Tawakkal Kepada Yang Maha Esa Pembinaan Masjid Ukhuwwah Islamiyyah Tonggak Kesatuan |
15
15 15 15 15 |
7.0
|
KESIMPULAN DAN PENUTUP
|
16
|
8.0
|
BIBLIOGRAFI
Al-Quran
Buku Ilmiah |
17
17 17 |
1.0 PENGENALAN
Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam
keseluruhannya. Hal ini kerana tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam
perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Hijratul Rasul adalah salah satu
daripada sejarah-sejarah yang di rakam oleh Allah dan dipapaarkan semula kepda
manusia melalui al-Quran.
Secara fizikalnya, Hijrah adalah
perjalanan dari satu bandar ke bandar lain yang jaraknya 300 batu.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah ia juga menandakan permulaan era ketamadunan
yang meliputi budaya dalam satu sejarah baru bagi umat manusia. Islam
berkembang bukan sahaja kerana Hijrah secara fizikal sahaja, sebenarnya kerana
umat Islam memandang serius terhadap semua aspek dan dimensi Hijrah. Apabila
Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, baginda tidak sahaja berpindah
tempat tinggal atau bermastautin di sebuah kota baru, malah baginda juga
merubah segala aspek kehidupan di kota yang didatanginya itu.
Dengan merenugi peristiwa-peristiwa
yang berlaku semasa peristiwa hijrah ini kita akan dapat memperkuatkan mental
dan fizikal serta keazaman untuk memperjuangkan Islam. Kerana jika Nabi
sebagai seorang manusia yang telah dirancang dan disempurnakan kejadian dan
sifat-sifatnya oleh Allah terpaksa merempuh jalan yang begitu sulit untuk
menegakkan Islam, apalah yang ada pada kita yang dhaif ini untuk membolehkan
kita mengelak dan terlepas daripada ditimpa kejadian yang serupa.
Secara logiknya kita akan menerima
lebih banyak masalah dan halangan kerana ia bukan sahaja fitrah perjalanan
sebuah kebenaran dan keadilan tetapi ditambah pula dengan kelemahan-kelemahan
yang ada pada kita sebagai insan biasa. Oleh itu kalau ada yang bermimpi
menegakkan Islam tanpa berdepan dengan kesulitan sudah tentu agak sukar untuk
diterima.
Oleh itu, penting bagi
penulis merungkai kembali peristiwa yang terjadi dalam penghijrahan Rasulullah
SAW kerana di dalamnya terdapat banyak
pelajaran yang boleh kita pelajari dan menjadikannya panduan dalam hidup kita.
Secara spesifik, penulis dapat utaran mengenai kisah hijrah ini pada halaman
berikutnya.
2.0 DEFINISI HIJRAH
Bahasa: Perpindahan dari satu tempat ke
tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah menukarkan
makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang
berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”
Istilah: terbahagi kepada tiga, iaitu:[1]
-
Berpindahnya Rasulullah SAW
daripada Makkah ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda
SAW. Perpindahan ini kerana semata-mata agama bukan membabitkan
keuntunganduniawi.
-
Perpindahan dari negeri kufur ke
negeri Islam. Jika sekiranya niat kerana Allah SWT, maka hijrah itu termasuk
dalam hijrah syara’.
-
Meninggalkan Negara syirik dan
berpindah ke Negara Islam, seperti para muhajirin berhijrah sebelum pembukaan
Makkah dan Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah
berhijrah ke bumi Habsyah.
3.0 PEMBAHAGIAN PERKATAAN HIJRAH
Perkataan hijrah diberi kepada beberapa bahagian:[2]
-
Hijrah pertama ke Habsyah ketika
golongan kufar menyakiti para sahabat.
-
Hijrah kedua dari Makkah ke
Madinah.
-
Hijrah ketiga iaitu hijrah
pelbagai kabilah dan kaum kepada Nabi SAW untuk mempelajari hukum syara’.
Kemudian mereka pulang ke halaman masing-masing dan mengajar kaum mereka
sendiri.
-
Hijrah keempat iaitu hijrah siapa
yang memeluk Islam di kalangan penduduk Makkah yang datang mengunjungi Nabi SAW
kemudian pulang semula ke Makkah.
-
Hijrah kelima iaitu sesiapa yang
berhijrah daripada segala larangan Allah.
-
Hijrah dengan tubuh badan dari
sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
-
Hijrah dengan hati kepada Allah
SWT dan RasulNya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu
hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah SWT kepada cinta kepada-Nya.
Daripada ubudiyyah selain-Nya kepada ubudiyyah Allah.
4.0 FAKTOR PENGHIJRAHAN
Perintah Allah
-
Penghijrahan Baginda hanya menjadi
kenyataan setelah diwahyukan oleh Allah S.W.T. tentang niat jahat orang-orang
Quraisy untuk membunuhnya. Firman Allah:
Dan ingatlah ketika orang-orang
kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu,
atau mengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya
(mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.[3]
Menurut sumber-sumber tradisi, ketika
itu datang Jibrail kepada Nabi lalu menyampaikan perintah Allah SWT supaya Nabi
berhijrah, serta dilarangnya Nabi daripada tidur di tempatnya pada malam itu.
Ini menyebabkan Nabi secara tergesa-gesa tetapi penuh hati-hati berangkat ke
Madinah bersama Abu Bakar Al-Siddiq pada tahun 622 M.[4]
Penentangan Kepada Dakwah Islam Di Makkah
-
Selain itu, suasana dalam negeri
yang kian mengancam seperti cengkaman politik, ekonomi dan sosial inilah yang
mendorong Baginda memikirkan perlunya berhijrah.[5]
-
Musyrikin Quraisy telah semakin
berani mengganggu dakwah Bagindanya dengan merancang untuk menamatkan riwayat
Rasulullah.[6]
Penerimaan Yang Baik Di Madinah
-
Madinah (Aus dengan Khazraj)
mahupun dengan bangsa Yahudi telah menjadi alasan pula tentang perlunya seorang
pemimpin buat mendamaikannya. Maka atas kesedaran inilah maka golongan Arab itu
menjemput Nabi ke Madinah, setelah beberapa kali mengadakan Perjanjian Aqabah
(Bai’atul-Aqabah). Perjanjian ini sekaligus bererti suatu pengiktirafan secara
rasmi penduduk-penduduk Madinah terhadap Muhammad sebagai pemimpin di Madinah.[7]
5.0 KRONOLOGI HIJRAH RASULULLAH
Kematian Abu Thalib Dan Siti Khadijah
Pada tahun ke-10 kerasulan, Abu
Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah telah meninggal dunia. Abu Talib
semasa hayatnya, kuat mempertahankan anak saudaranya, iaitu Rasulullah. Quraisy
tidak berjaya menyakiti diri Nabi sepanjang hayat Abu Talib kerana mereka
hormat dan gerun kepadanya. Apabila beliau meninggal dunia, Quraisy mula berani
bertindak kasar terhadap Rasulullah. Lantaran itu, kematian beliau menimbulkan
rasa sugul yang mendalam kepada Nabi. Nabi bersungguh-sungguh mendesak Abu
Talib untuk mengucap kalimah syahadah ketika beliau terbaring nazak pada
saat-saat akhir kematiannya. Namun Abu Talib enggan kerana bimbang beliau akan mendapat
malu daripada kaumnya kerana meninggalkan agama nenek moyangnya.[8]
Selain kematian Abu Thalib, Allah
juga telah menguji Rasulullah dengan kematian isteri Baginda iaitu Khadijah RA.
Khadijah juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Sebelum itu, Khadijah
berperanan meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasul lantaran permusuhan
Quraisy yang dihadapi Baginda. Apabila beliau meninggal dunia, Baginda merasa
terlalu dukacita. Tahun kematian bapa saudara Baginda, Abu Thalib dan
isterinya, Khadijah dinamakan sebagai "Tahun Dukacita".[9]
Perjalanan Ke Ta’if
Pada bulan Syawwal tahun ke-10
kenabian. Rasulullah telah ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan dakwah. Hal
ini terjadi kerana penentangan oleh orang-orang kafir Makkah semakin kuat.
Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu. Baginda pergi dan balik berjalan
kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.[10]
Setiap kali Baginda berjumpa dengan
kabilah di perjalanan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam. Namun
tidak satu pun kabilah yang menyahut seruankan Baginda. Tatkala sampai di Ta’if,
Baginda berjumpa dengan tiga orang bersaudara dari bani Thaqif iaitu Abdul
Yalail, Mas’ud dan Hubaib. Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina
Rasulullah SAW.[11]
Baginda bermukim di Ta’if selama 10
hari. Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah didakwah oleh Nabi.
Tetapi semua mereka telah menghina Nabi. Malah mereka menyuruh khadam-khadam
mereka membaling batu kepada Nabi ketika hendak keluar dari Ta’if. Tumit Nabi
terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah. Zaid bin Harithah yang cuba
melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya.[12]
Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Ta’if sehinggalah Nabi masuk ke kebun
`Utbah dan Shaybah yang merupakan dua anak lelaki Rabi`ah.[13]
Di kebun itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri lalu
berdoa:[14]
“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu
kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan
manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu
serahkan aku ? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis 3 atau
kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku
tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih
melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan
serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada
kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku
sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”
Walaupun Baginda sangat sedih dengan
apa yang berlaku di Ta’if, namun telah berlaku beberapa peristiwa menarik
sepanjang perjalanan sekembalinya Nabi ke Makkah. Peristiwa dipeluk oleh
seorang khadam yang beragama Nasrani, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga
bukit ketika di Qarnul Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk
mendengar ayat-ayat al-Qur’an ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah
menaikkan semangat Baginda untuk meneruskan dakwah dan merancang strategi baru.[15]
Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu
Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10
kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah untuk menawarkan seruan Islam kepada
kabilah dan individu. Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh
kabilah-kabilah dari luar sempena musim haji pada bulan Zulhijjah. Sebenarnya
Nabi telah berdakwah kepada banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim
haji sejak tahun ke-4 kenabian lagi. Tetapi tidak satu kabilah pun menerima
dakwah Baginda. Namun terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan
masuk Islam.[16]
Pada musim haji tahun ke-11 kenabian,
Nabi telah bertemu dengan 6 orang pemuda Yathrib. Mereka tertarik dengan seruan
Nabi kerana mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan
keluar dari mulut-mulut orang Yahudi di Yathrib. Mereka pulang ke Yathrib dalam
keadaan masih belum masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang
Nabi akhir zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib. Jadi, seluruh penduduk
Yathrib mula maklum berkenaan Rasulullah.[17]
Mereka adalah As’ad Bin Zararah, Auf Bin Haris Bin Rufah Bin Arfa’, Rafi’
Bin Malik Bin Ajlan, Quthbah Bin Amir Bin Hadidah, Uqbah Bin Amir Bin Naby dan
Jabir Bin Abdullah Bin Riab.[18]
Peristiwa Isra’ Mi`raj
Terdapat perselisihan berkenaan
tarikh peristiwa ini berlaku. Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri memilih
samada ia berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram
tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.[19]
Mengikut pandangan Dr Mustafa Al-Siba’ie ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10
kenabian atau selepasnya.[20]
Pendapat sahih yang dipegang oleh
jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan
jasad dan roh Nabi. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil
Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Setelah menerima
pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam Baginda pulang kembali
ke Makkah pada malam itu juga. Peristiwa ini berlaku pada satu malam dan ia
benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika itu.[21]
Ada yang setelah mendengar peristiwa
ini tetap beriman malah semakin teguh iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada
yang terus murtad. Baginda juga memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu.
Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang
kuat imannya telah membenarkan Baginda. [22]
Bai`ah Pertama
Pada musim haji tahun ke-12
kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan 12 orang lelaki dari Yathrib,
lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina pada tahun ke-11 kenabian.
Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk Islam dan berbai`ah dengan
Nabi. Nabi telah menghantar seorang pemuda sebagi duta Islam bernama Mus`ab bin
`Umair al-‘Abdari yang juga mmerupajn pemeluk Islam terawal untuk mengikut
rombongan 12 orang tersebut pulang ke Yathrib. Tujuannya ialah supaya Mus`ab
bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang masuk Islam di Yathrib tentang
syari`at-syari`at Islam.[23]
Sebelum tiba musim haji tahun ke-13
kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah bertemu Nabi dengan membawa berita yang
menggembirakan. banyak penduduk Yathrib dari pelbagai kabilah menerima ajaran
Islam sekaligus hal ini dapat mengukuhkan kekuatan Islam.[24]
Bai`ah Kedua
Pada musim ke-13 kenabian, seramai
73 hingga 79 orang Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji.
Mereka datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik. Kali ini telah
berlaku bai`ah kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius
iaitu dalam hal taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi
walau dalam keadaan apa sekali pun. Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi
memikul tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib. Daripada 12 orang
itu, 9 orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.[25]
Permulaan Hijrah.
Quraisy mendapat tahu tentang
keislaman sekumpulan penduduk Yathrib. Lantaran itu, mereka meningkatkan
penyeksaan kepada orang-orang mukmin di Makkah. Lalu Nabi mengarahkan
orang-orang mukmin berhijrah ke Madinah. Mereka berhijrah secara sembunyi
kecuali Umar RA. Beliau telah memberitahu orang musyrik Quraisy tentang
penghijrahannya seraya berkata: "Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya,
esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar
menyahut cabarannya. [26]
Banyak sekatan telah berlaku terhadap
ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah. Antaranya ialah, kisah Ummu Salamah
dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu Abu Salamah
dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan
anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah
dibebaskan oleh keluarganya. Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang
ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan
berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.[27]
Selain itu, Kisah Suhaib yang ditahan
oleh kafir Quraisy tatkala beliau memulakan perjalanan untuk berhijrah lalu
dilepaskan Suhaib kerana Suhaib sanggup menawarkan bahawa akan memberikan
kesemua hartanya kepada kafir Quraisy tersebut sekiranya pihak mereka tidak
menghalang perjalanan beliau lalu kafir Quraisy itu melepaskan Shuhaib.
Peristiwa gembira itu telah sampai kepada Rasulullah, Baginda berkata: Shuhaib
untung besar!, Shuhaib untung besar![28]
Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah
Pada hari Khamis, 26 Safar tahun
ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk
berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad. Pertemuan
ini dihadiri oleh semua perwakilan
Kabilah Quraisy antarnya, Abu Jahal Bin Hisyam, Jubair Bin Muth’im, Syaibah Bin
Rabiah, Nadhar Bin Haris, Abu Bakhtary Ibn Hisyam, Nabih Bin Hajjaj dan
Umaiyyah Bin Khalaf.[29]
Beberapa cadangan telah dikemukakan
namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua
itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd.[30]
Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu. Iaitu agar
dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh
Nabi. Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus
dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja
diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk
membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi. Jika
mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan
pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya. Parlimen Makkah setuju secara
ijmak lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu
melaksanakan usul tersebut. [31]
Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian,
setelah mendapat wahyu dari Allah, Nabi Muhammad bergegas untuk berjumpa Abu
Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.[32]
Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi berjumpa dengannya pada waktu
tengahari yang panas itu. Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi
pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.[33]
Dalam masa yang sama,
penjenayah-penjenayah yang diupah untuk membunuh Rasulullah oleh besar Quraisy
mula melakukan persiapan rapi untuk melaksanakan apa yang telah mereka
bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi
Muhammad. Sebelas orang penjenayah telah terpilih mewakili kaum masing-masing untuk
melaksanakan misi jahat tersebut.[34]
Bertolak dari Makkah
Apabila malam menjelma, iaitu
malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah
berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada
tengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka
menunggu dan menyelidik samada Nabi sudah tidur atau belum. Namun, kekuasaan
Allah dan peliharaan Allah terhadap kekasihnNya mengatasi kesempurnaan
perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut.[35]
Sebelum Nabi bertolak meninggalkan
rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya
dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami
berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas
penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin. Dengan
izin Allah, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak
dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu waktu
yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar
meninggalkan rumahnya.[36]
Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu
Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak
dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum
waktu fajar.[37]
Para pengepung masih menunggu
tetapi kegagalan mereka rupanya telah tersingkap. Seorang lelaki yang melihat
dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan
seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar
meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak
nampak langsung Nabi Muhammad seperti didakwa lelaki tersebut. Setelah
mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai
ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka
pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap.
Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka
rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi
Muhammad.[38]
Bersembunyi Di Gua Thur
Walaupun Yathrib (nama asal bagi
Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi tidak memilih jalan biasa iaitu
utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang
sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang
menunggu Nabi. Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar
Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika
melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu
bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan
bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.[39]
Mereka berdua tidak terus masuk ke
dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri
untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dibibangi jika terdapat apa-apa
bahaya.[40]
Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun
mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2
lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2
kakinya ke lubang tersebut.[41]
Setelah keadaan dirasakan selamat,
barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar
lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah
satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di
atas wajah mulia Baginda. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi.
Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun
meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan
binatang berbisa itu.[42]
Rasulullah dan Abu Bakar berada di
dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam
Ahad.[43]
Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu
Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).[44]
Sepanjang 3 hari itu Abdullah bin Abu
Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke
Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip
perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha
pembunuhan Nabi. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya
apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi.[45]
`Amir bin Fuhayrah pula mengembala
kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam,
beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar
bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut,
kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah
bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam.[46]
Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah
berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad. Ali bin Abi Talib
telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah
ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di
manakah Nabi.[47]
Bengang dengan kegagalan mereka untuk
mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan
lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat
menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu,
maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa,
para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.[48]
Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib
Selepas 3 hari di gua Thur,
`Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan
beragama Islam, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya
kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak
pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad dan Abu Bakar,
`Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan
tersebut.[49] Sebelum bertolak, Asma’
bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh
perjalanan yang jauh dan mencabar itu.[50]
Ketika meneruskan perjalanan, mereka
berempat telah memilih menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju
ke arah barat iaitu laluan pesisiran pantai. Apabila sampai di kawasan yang
agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah
menuju ke Yathrib. Mereka berajalan
dengan menggunakan laluan yang jarang digunakan orang ramai.[51]
Singgah di Quba’
Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal
tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad dan rombongannya itu sampai di Quba’.[52]
Di Quba’, rombongan Rasulullah singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda
menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’.[53]
Di situlah Baginda mengasaskan
masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama dibina di bumi ‘Arab
yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid
Quba’.[54]
Allah telah menggambarkan di dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya masjid yang
didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut
kamu bersembahyang di dalamnya.”[55]
Sampai di Yathrib
Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal
tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya. Apabila telah
masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah
kawasan lembah di perkampungan yang dinamakn Bani Salim bin Auf. Disitulah
Baginda menunaikan solat Jumaat pertama dan menyampaikan khutbah pertama dalam
Islam[56]
Selepas selesai solat Jumaat, Nabi
terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh
penduduk di situ. Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka
beramai-ramai telah menunggu Nabi setiap hari dan pulang semula apabila
mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah
dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap
Rasulullah.[57]
Persinggahan Di Rumah Abu Ayyub
Walaupun orang Ansar di Yathrib
bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi
singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan
yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad.[58] Rasulullah menjawab kepada mereka, “Biarkan saja unta ini, dia mengikut
perintah.” Unta Rasulullah tadi berjalan terus di jalan-jalan dan lorong-
lorong Madinah berhadapan dengan rumah Abu Ayyub Al Ansari. Rasulullah pun
berkata: “InsyaAllah di sinilah saya akan singgah.[59]
Pembinaan Masjid Nabi
Tapak pembinaan masjid itu merupakan tempat dimana unta Baginda duduk
pertama kali berhampiran dengan rumah Abu Ayyub Al Ansari. Tempat tersebut juga
adalah berhampiran tanah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda
membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar
walaupun ditawarkan secara percuma oleh dua orang kanak-kanak berikut. Kemudian
Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka
segera melakukannya. Rasulullah. turut terlibat bersama mereka memindahkan batu
bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. Dinding masjid itu dibina
daripada batu bata dan bumbungnya daripada pelepah-pelepah kurma yang
diletakkan pada batang-batang kurma.[60]
Persaudaraan Antara
Muhajirin Dan Ansar
Baginda Rasulullah telah menjadikan untuk setiap Ansar seorang saudara
daripada Muhajirin. Ada seorang Ansar telah membawa saudara Muhajirinnya ke
rumahnya. Beliau menawarkan kepada saudara Muhajirinnya untuk membahagi sama
rata semua barang yang terdapat di dalam rumahnya.[61]
Kemudian Rasulullah menulis satu piagam
bertulis antara Muhajirin dan Ansar. Di dalamnya Baginda berjanji untuk
berbaik-baik dengan Yahudi di samping mengakui hak mereka dalam agama dan
harta. Ibnu Hisyam telah menyatakan piagam tersebut dengan panjang lebar dalam
kitab sirahnya. Ia mengandungi prinsip-prinsip yang menjadi dasar asas kepada
negara Islam yang pertama. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan
sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat.[62]
Begitulah serba ringkas yang
telah penulis gambarkan tentang kronologi kisah hijrah Rasulullah dari Makkah
ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah atau
lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah
memulakan era baru dakwah Nabi dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang
lebih hebat.
6.0 IKTIBAR DARI KISAH HIJRAH
Sebenarnya terlalu banyak iktibar yang dapat kita pungut dan ambil
daripada peristiwa Hijrah
al-Rasul. Di sini dikemukakan
beberapa iktibar sebagai renungan bersama dan seterusnya penghayatan dalam
kehidupan kita, antaranya:[63]
Keistimewaan Hijrah
-
Antara keistimewaan hijrah, ialah
seseorang sudah pasti mempunyai azam yang tinggi dalam kehidupan. Lihatlah
falsafah orang yang berjaya yang menongkah arus serta memahami selok-belok
badai kehidupan menyebabkan Tajribatul Hayah atau pengalaman kehidupan
merupakan guru terpenting dalam mendewasakan seseorang.
Tawakkal Kepada Yang Maha Esa
-
Inilah ramuan terbaik bagi
seseorang hamba tatkala diasak dengan pelbagai ujian dan tribulasi dalam
menghadapi kehidupan maka pergantungan kepada Tuhan merupakan prasyarat utama
kejayaan. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah yang begitu yakin dengan janji
Allah.
Pembinaan Masjid
-
Terlalu banyak nas dan dalil
menunjukkan keistimewaan masjid. Secara nyatanya masjid berfungsi dalam
menjalinkan tali ikatan yang ampuh dan kukuh berkenaan dengan Habluminallah
(hubungan dengan Allah SWT) dan Habluminannas (hubungan dengan manusia). Dengan
dua ikatan tersebut sudah pasti syaitan tidak dapat memasuki untuk
mempengaruhi, memperdaya dan menipu umat Islam. Natijahnya akan jadilah
masyarakat yang sentiasa berkasih-sayang dan hidup dalam penuh keharmonian.
Ukhuwwah Islamiyyah Tonggak Kesatuan
-
Betapa peri pentingnya ukhuwwah
ini dimana ia merupakan agenda utama Baginda SAW ketika sampai ke Kota Madinah
sama ada mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj yang dinamakan dengan Ansar.
Seterusnya mempersaudarakan antara Ansar dengan penduduk Makkah yang berhijrah
ke Madinah. Mereka dikenali dengan Muhajirin. Antara matlamat Baginda SAW yang
dapat dikesan ialah supaya tiada lagi unsur bersifat kekabilahan atau perkauman
tetapi ditukar kepada Ukhuwwah Islamiah.
7.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP
Umat Islam sering menganggap
bahawa peristiwa Hijrah Rasulullah SAW hanyalah satu ethos sejarah. Apa
yang perlu diperbetulkan adalah, hijrah adalah satu sejarah yang benar-benar
mengubah penafsiran falsafah hidup yang selama ini manusia menjadikan dunia
untuk dunia semata-mata. Hijrah kini disambut kerana ianya mengandungi suka
duka perjalanan hidup seorang pejuang kebenaran yang diketuai oleh seorang
Rasul yang bernama Muhammad SAW. Maka itu adalah penting untuk kita mengetahui
perjalanan Rasulullah sebelum menghayati makna dan kepentingan Hijrah itu
sendiri.
Sesungguhnya di
sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang
dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh mana kita benar-benar menghayati
sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita?
Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan.
Sesungguhnya hijrah merupakan
kejayaan yang pasti diperolehi apabila disertai dengan nawaitu untuk mencari mardhatillah.
Begitu juga hijrah adalah mukadimah kemenangan sepertimana sunnah para Rasul
sejak dahululagi. Sekiranya perintah Rasulullah SAW yang ringkas ini dapat
diaplikasi dalam masyarakat dan negara sudah pasti menatijahkan keamanan,
kebahagiaan dan juga keharmonian yang membawa kasih sayang antara sesama
masyarakat.
Pada akhirnya penulis menyeru pada
khalayak pembaca supaya sentiasa mengkaji sirah Rasulullah SAW untuk mengambil
pelbagai iktibar dan istifadah yang boleh diguna pakai dalam menghadapi
pelbagai situasi ketika menempuh kehidupan di alam fana ini. Semoga bingkisan
hijrah Nabi SAW benar-benar memberi kesan dalam kehidupan masyarakat Islam
untuk menjadikan hijrah Nabi SAW sebagai titik tolak perubahan kehidupan.
7.0 BIBLIOGRAFI
Al-Quran:
-
Kementerian Dalam Negeri, 2007, Al-Quran
Dan Terjemahan, Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Buku Ilmiah:
-
Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2014, Wasatiyyah
Tonggak Kesatuan Ummah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya.
-
Syeikh Sofiyurahman
Al-Mubarakfuri, 2013, Ar-Rahiq Al-Makhtum, Kemilau Publika Sdn
Bhd, Selangor.
-
Mahayudin Hj.Yahaya, 2001, Tamadun
Islam, Fajar Bakti Sdn Bhd, Selangor.
-
Dr Mustafa Al-Siba’ie, 2011, Al-Sirah
Al-Nabawiah, Pustaka Darussalam, Kedah.
-
Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, 1983, Fiqh
Al-Sirah 1, Dewan Pustaka Fajar, Selangor.
-
Ibn
Hisyam, 2009, al-Sirah
al-Nabawiyah, Jilid
1 , Al-Hidayah Publication, Selangor.
-
Mahmud Thu’mah Halabi, 2008, Mukhtasar
Hayatus Shahabah, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur.
[2] Ibid hlm 5.
[3] Al-Anfal: 30
[5] Mahayudin Hj.Yahaya, Tamadun Islam, hlm 419.
[8] Dr Mustafa Al-Siba’ie, Al-Sirah Al-Nabawiah, hlm 26.
[9] Ibid, hlm 26.
[12] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Fiqh Al-Sirah 1, hlm 75.
[15] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 79.
[33] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[40] Mahmud Thu’mah Halabi, Mukhtasar Hayatus Shahabah, hlm 49.
[41] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[44] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 104.
[45] Mahmud Thu’mah Halabi, op.cit, hlm 48.
[49] Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, op.cit, hlm 105.
[55] al-Taubah : 108
[60] Dr Mustafa Al-Siba’ie, op.cit, hlm 40.